SELANGOR

Selangor bakal wujud ‘Smart Farming’ pertama di Malaysia

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 23 JUN: Selangor sekali lagi mengorak langkah ke hadapan apabila akan mewujudkan ‘Smart Farming’ yang pertama seumpamanya di negara ini.

EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, projek perintis pertanian bandar di bawah Agro Bandar itu dijangka bermula pada Ogos depan.

Katanya, tambah menarik apabila projek tanaman dan ternakan itu akan menggunakan teknologi moden dengan penggunaan aplikasi melalui gajet bagi mengawal kerja tanaman seperti penggunaan baja dan juga air.

“Kami sasarkan projek ‘Smart Farming’ ini akan menghasilkan produk pertanian bermutu tinggi, antara tanaman awal kita cadangkan ialah tembikai eksotik yang mana harganya agak mahal.

“Paling penting melalui projek pertanian ini, ia akan menggunakan kaedah lestari yang tidak membenarkan penggunaan racun sebaliknya hanya mikroorganisma lebih semulajadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Jamuan Aidilfitri Kawasan Dewan Undangan Negeri Pandan Indah bertempat di Dewan Cempaka di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Izham berkata, ‘Smart Farming’ kini di peringkat akhir kerja-kerja pengurusan pelan dan dijangka memulakan pelaksanaannya di kawasan Pandan Jaya.

“Ia akan siap dalam tempoh tiga bulan dan sekiranya ia berjaya kita akan melaksanakannya ke tempat lain.

“Kebun ini akan diuruskan oleh individu mahupun syarikat yang bersesuaian, dan saya pasti projek perintis pertanian moden di bandar ini akan menarik lebih ramai anak-anak muda,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :