SELANGOR

Selangor bertuah miliki MB faham jiwa belia

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 30 JUN: Generasi muda di Selangor disifatkan bertuah kerana memiliki Dato’ Menteri Besar yang memahami kehendak dan keperluan golongan itu, di negeri ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Amirudin Shari turut memperkenalkan pelbagai program membabitkan belia ketika memegang portfolio itu sebelum ini.

“Generasi muda di Selangor memang beruntung kerana Dato’ Menteri Besar kita cukup memahami kehendak mereka dalam pelbagai bidang sama ada sukan, muzik, seni mahupun kreativiti.

“Saya juga difahamkan beliau sendiri pernah terbabit aktif mendeklamasi puisi sehingga ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung bersama DJ Fazreen di konti sementara Selangor FM pada sambutan Hari Belia Negara & Youth Business Expo @Selangor 2019 di USJ Summit di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, belia di Selangor juga wajar mengambil peluang untuk lebih aktif dalam pelbagai aktiviti membabitkan golongan terbabit di negeri ini.

Pelbagai acara menarik diadakan sempena sambutan itu antaranya #youthpower Fun Run, Dyno Run by Dr Dyno Tuning Malaysia, Samurai Youth Bikers 2019, pelbagai bengkel kemahiran dan gerai jualan usahawan belia.


Pengarang :