SELANGOR

Selangor intai peluang tarik pelaburan perkhidmatan pemotongan pesawat

 

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 27 JUN: Selangor sedang mengintai peluang terbaik untuk menarik pelaburan dalam perkhidmatan pemotongan pesawat, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, perbincangan sedang dilakukan dengan pengeluar pesawat Eropah, Airbus untuk mewujudkan kemudahan itu di negeri ini.

Katanya, perbincangan itu dijangka mengambil masa antara enam hingga lapan bulan dan sekiranya membuahkan hasil, Malaysia akan menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang memberi perkhidmatan terbabit.

“Kita sedang mengenal pasti tapak yang sesuai dan kemudahan itu perlulah berhampiran landasan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan majlis pecah tanah di Airfoil Services Sdn Bhd (ASSB) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ASSB, Wim Van Beers dan Pengerusi Lembaga Pengarah ASSB, Phillip Mende.

Pada masa sama, Amirudin berkata, projek landasan pantas dua tahun yang menelan kos US$15 milion itu bakal dilengkapi mesin berteknologi tinggi yang membolehkan ASSB bersedia untuk menyelenggara sehingga 1.2 juta bahagian setahun.

Katanya, kapasiti pengeluaran kemudahan akan meningkat kepada 900,000 bahagian daripada 650,000 bahagian yang ada setakat ini.

“Dengan tambahan kilang ini, ia juga akan menambah bilangan pekerja daripada sekitar 500 kepada 700 pekerja pada masa depan, terutama apabila siap dan lengkap segala kemudahan serta peralatan yang mereka buat.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan tambahan kilang ini sebab ia adalah sebahagian daripada ekosistem aeroangkasa, khususnya dalam sektor Penyelenggaraan, Pembaikan dan Pembaikan (MRO),” katanya.

Projek tambahan yang bermula Julai tahun lalu dijangka siap menjelang Jun 2020.

 


Pengarang :