BERITA UTAMASELANGOR

Selangor kendali sekolah agama terbanyak di Malaysia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 JUN: Kerajaan Selangor mempunyai serta mengelola bilangan sekolah agama terbanyak banyak di Malaysia, kata Dato’ Menteri Besar.

Amirudin Shari berkata, ia termasuk 296 Sekolah Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA), 227 sekolah rendah agama, 23 sekolah agama menengah, 13 pra sekolah dan 11 sekolah rendah agama integrasi.

Katanya, tidak ketinggalan empat Maahad Integrasi Tahfiz (MITS) dan 27 Kelas KAFA Menengah serata Selangor.

“Kerajaan Selangor akan terus memberi sokongan padu bagi menjayakan visi dan misi pendidikan Islam di negeri ini.

“Kita percaya inilah usaha dan benteng terpenting dalam membentuk jati diri murid-murid Islam ke arah melahirkan remaja yang berakhlak mulia yang berpaksikan ilmu pengetahuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru dan Apresiasi Guru KAFA JAIS di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Operasinya, Salwana Ahmad Dahlan serta hampir 700 guru KAFA dari seluruh Selangor.

Amirudin berkata, menguruskan pendidikan yang merangkumi bilangan sekolah dan guru yang tinggi ini bukan suatu kerja yang mudah.

Katanya, ia memerlukan kerjasama erat semua pihak dan Kerajaan Negeri perlu menyediakan peruntukan kewangan yang tinggi untuk semua keperluan pendidikan di semua sekolah agama Selangor.

“Saya berharap melalui bilangan perjawatan yang semakin bertambah dan peluang kenaikan pangkat, ia akan membangkitkan semangat bekerja yang tinggi di kalangan guru,” katanya.


Pengarang :