SUKANKINI

Selangor lonjak tangga ketiga selepas benam Pahang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 JUN: Selangor berjaya memintas Perak dan Kedah dalam kedudukan carta Liga Super Malaysia selepas menjaringkan gol 5-2 ke atas Pahang di Stadium Shah Alam malam tadi.

Selangor kini menghuni di tempat ketiga dengan 28 mata meninggalkan Perak di tangga keempat dengan 27 mata diikuti Kedah, 26 mata.

Sementara itu, Pahang yang kurang satu perlawanan berada di tangga kedua, berkelebihan dua mata ke atas Selangor, sekali gus Selangor masih berpeluang memintas Pahang.

Kenduri gol pada perlawanan malam tadi disumbangkan dengan jaringan hatrick oleh penyerang import baru Selangor, Ifedayo Omosuyi pada minit ke 36, 43 dan 86.

Gol pembukaan disumbangkan Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-29 dan dilengkapkan jaringan Endrick, pada minit ke-46.

Gol sagu hati Pahang dijaringkan pada separuh masa kedua oleh Kogisleswaran Raj pada minit ke-68 dan Mohamadou Sumareh, pada minit ke-77.

Percubaan Pahang untuk bangkit pada minit akhir perlawanan tidak menghalang Selangor mengekalkan kedudukan sehingga wisel penamat dibunyikan.


Pengarang :