SUKANKINI

Selangor mampu jadi tuan rumah terbaik SUKMA 2022

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 11 JUN: Selepas kali terakhir menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) pada 1998, Selangor sekali lagi diyakini mampu menganjurkan temasya sukan dwi tahunan itu, pada 2022.

Pemangku Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohamad Nizam Marjugi berkata, hal itu kerana Selangor memiliki fasiliti sukan terbaik dan lengkap berbanding negeri lain.

“Jika Selangor menganjurkan SUKMA 2022, peruntukan untuk menyediakan gelanggang pertandingan tidak sebesar negeri lain kerana di negeri ini sudah tersedia gelanggang untuk semua acara yang serba lengkap.

“Stadium sahaja kita ada lebih 10 buah yang boleh digunakan untuk dijadikan venue SUKMA, itu belum diambil kira stadium di institusi pengajian tinggi seperti Kompleks Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan lain-lain yang pasti sedia bekerjasama,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, Selangor juga boleh memohon kerjasama daripada Perbadanan Stadium Malaysia untuk menggunakan Stadium Bukit Jalil jika perlu.

Selain kemudahan gelanggang untuk acara dipertandingkan, Selangor turut dilengkapi sistem pengangkutan dan penginapan yang mencukupi bagi kesemua kontinjen.

Mohamad Nizam berkata, sebelum ini beberapa temasya sukan antarabangsa seperti Sukan SEA dan Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 banyak membabitkan gelanggang serta pelbagai kemudahan lain di Selangor.

“Mungkin pada perasmian itu nanti kita boleh buat kelainan, tak perlu bunga api dan sebagainya tetapi menampilkan semangat sukan SUKMA itu sendiri untuk melahirkan bakal jaguh negara,” katanya.


Pengarang :