BERITA UTAMASELANGOR

Selangor peruntuk RM3.4 juta buat 7,000 bakal jemaah haji muassasah

OLEH NADIAH ZAMLUS

BATU CAVES, 28 JUN : Sejumlah RM3.4 juta diperuntuk buat 7,000 bakal jemaah haji dari negeri ini melalui Insentif Haji Muassasah Selangor 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pemberian insentif itu bagi memberi sokongan kepada bakal jemaah yang akan menunaikan ibadah haji tidak lama lagi.

“Ini adalah program kali keempat yang dijalankan Kerajaan Selangor, dan ianya khas kepada jemaah yang menerima subsidi terus daripada Tabung Haji.

“Selain wang tunai sebanyak RM500 setiap seorang, kita juga berikan sedikit keperluan barangan yang boleh digunakan jemaah untuk mereka gunakan sepanjang berada di tanah suci nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Insentif Haji Muassasah Selangor Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) 2019 bagi Dewan Undangan Negeri Gombak di Masjid Al Amaniah, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Hilman Idham dan Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin serta 600 jemaah haji.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, beliau mahu kesemua bakal jemaah haji menjaga nama baik diri dan juga Selangor.

“Ikut nasihat mutawif dan semua pembimbing yang dilantik di sana, jangan lupa apabila tiba di tanah suci nanti sentiasalah mengamalkan sikap berkongsi.

“Apabila ke sana juga sentiasa cuba mengambil ikhtibar dan semoga ianya akan membolehkan kita menjadi insan yang lebih baik,” katanya.


Pengarang :