SELANGOR

Selangor tawar pengecualian bayaran denda cukai petak sempena Syawal 

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 19 JUN: Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan untuk mengecualikan bayaran  denda cukai petak bagi skim pembangunan berstrata bersempena Syawal ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pengecualian itu akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan bermula 1 Jun lalu sehingga 31 Ogos tahun ini.

“Pengumuman ini adalah satu bentuk insentif dan hadiah hari raya kepada semua rakyat Selangor yang memiliki hak milik strata di samping menggalakkan pembayaran cukai petak demi kelangsungan pembangunan negeri yang holistik selaras dengan agenda Selangor Maju Bersama.

“Sehubungan dengan itu, rakyat Selangor terutamanya pemilik hakmilik strata digesa untuk merebut peluang ini sebelum 31 Ogos tahun ini bagi mengelak daripada dikenakan fi denda lewat,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, pengenaan fi dan kadar cukai petak bagi skim pembangunan berstrata secara berkomputer dilaksanakan di seluruh negeri ini berkuatkuasa pada 1 Jun tahun lalu selaras dengan keputusan MMKN Selangor.

Ia sekaligus menjadikan Selangor selaku negeri pertama di Malaysia yang menjalankan kutipan cukai petak berkenaan.

Amirudin berkata, pelaksanaan cukai petak bagi skim pembangunan berstrata bertujuan membantu rakyat negeri ini menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi pemilik hartanah berstatus strata dengan Perbadanan Pengurusan (MC) membabitkan urusan cukai.

“Ini lebih memudahkan pemilik petak untuk melakukan sebarang urusan jual beli bagi hartanah berskim strata, di samping mewujudkan akses langsung antara pemilik hartanah membayar cukai secara terus kepada Pejabat Tanah dan Daerah,” katanya.


Pengarang :