SELANGORSUKANKINI

Selangor tekad bawa pulang satu piala musim ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAJANG, 30 JUN: Pemain sayap Selangor, Wan Zack Haikal, berazam untuk membantu The Red Giants membawa pulang sekurang-kurangnya sebuah piala musim ini sebagai hadiah kepada penyokong dan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah.

Wan Zack yang kini masih dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) pada Januari lalu berkata, walaupun terpaksa berehat panjang, beliau yakin rakan sepasukannya mampu menjelma kejuaraan kepada The Red Gaints dengan fokus ialah Piala Malaysia.

“Terima kasih kerana sentiasa menyokong pasukan Red Giants dan saya harap sokongan berterusan diberikan kepada pasukan ini sepanjang perlawanan pada tahun ini.

“Kami akan lakukan yang terbaik untuk mendapatkan sekurang-kurangnya sebuah piala tahun ini,” kata pemain yang pernah menimba pengalaman di Jepun bersama kelab FC Ryukyu.

Dia yang juga bekas pemain kebangsaan ditemui sempena program ‘Meet and Greet’ bersama pemain bola sepak Selangor, di perkarangan Stadium Kajang, di sini hari ini.

Selain Wan Zack, program di bawah Jelajah 360 Smart Selangor itu turut menampilkan penyerang import, Ifedayo Olusegun.

Sempena program berkenaan, kedua-dua pemian tersebut beramah mesra dengan peminat di samping mereka diberi peluang untuk menunjukan kemahiran menimang bola.

Jelajah 360 Smart Selangor yang diadakan selama tiga hari sejak Jumaat lalu bertujuan menghubungkan rakyat secara terus kepada pentadbiran negeri, sekali gus meningkatkan ‘service delivery’ Kerajaan Negeri.

Kajang menjadi lokasi keempat selepas mendapat sambutan hangat sebelum ini di Kuala Selangor, Kuala Kubu Bharu dan Sabak Bernam.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan pada karnival terbabit antaranya pameran agensi Kerajaan Negeri, Motor Show, Soopa Doopa, Konsert Alami, Smart Busker Rakyat, Ceramah Kerjaya, Giveaway Smart Selangor, Pertandingan Bola Jaring dan Bola Keranjang serta Zumbathon.

Sementara itu, Ifedayo memberitahu, dia merasa bangga kerana dapat bersama pasukan Selangor dan bertekad memberi komitmen terbaik terhadap pasukan itu.

“Saya gembira bersama pasukan ini dan Selangor adalah ‘tempat tinggal’ saya. Saya harap dapat lihat anda (penyokong) semua di Stadium dalam setiap perlawanan,” katanya.


Pengarang :