SELANGOR

Seminar keusahawanan penternakan himpun lebih 300 penternak

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SERDANG, 22 JUN: Seminar Keusahawanan Penternakan Masyarakat India anjuran Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghimpunkan 375 peserta dari seluruh Selangor termasuk usahawan luar negeri.

EXCO Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, seminar dengan kerjasama Koperasi Penternak dan Agro Selangor Berhad itu adalah medium kepada komuniti yang berminat dalam bidang penternakan untuk mendapat ilmu serta mengetahui keperluan asas bagi menggiatkan pembabitan dalam industri berkenaan.

“Ia adalah komponen penting terhadap pembangunan industri, khususnya pertanian serta penternakan kerana sekiranya tiada latihan dan kursus yang betul maka pembangunan serta usaha dibuat tidak boleh mencapai tahap yang optima.

“Tambah lagi dengan pemodenan di bawah Selangor, jika kita tidak dimaklumkan dengan pencapaian terbaharu maka hasil usaha itu akan menjadi sia-sia,” katanya ketika ditemui di Auditorium Jurutera Raden Umar, Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Koperasi Penternak dan Agro Selangor Berhad, Ravindran Nadesan; Pakar Tenusu, Dr Vijaya Jayam dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal, Mazwan Johar.

Terdahulu, seminar terbabit turut membawa agensi utama dalam industri penternakan di bawah satu bumbung bagi berkongsi fungsi dan peranan setiap agensi berkenaan.

Selain aspek penternakan, Ir Izham berkata, seminar itu turut memfokuskan kepada aspek baka dan teknologi makanan baharu bagi menggalakkan tumbesaran terhadap haiwan ternakan ruminan berkenaan.

“Makanan adalah aspek yang sangat penting dalam pembesaran haiwan ruminan dan haiwan ternakan memerlukan makanan yang tinggi kandungan protein,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :