EKONOMINASIONAL

Sentimen positif dorong Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, dipacu oleh sentimen pasaran lebih positif serta jangkaan bahawa Amerika Syarikat (AS) akan menurunkan kadar faedah seterusnya, kata peniaga.

Malah, seiring dengan aliran kenaikan yang dicatatkan oleh bursa serantau, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 5.24 mata lebih tinggi kepada 1,649.33 daripada paras 1,644.09 pada Selasa.

Bursa Malaysia ditutup pada Rabu serta Khamis bersempena cuti umum Aidilfitri.

Indeks penanda aras itu yang dibuka menokok 6.84 mata kepada 1,650.93 pada pagi ini, bergerak dalam jajaran 1,646.8 dan 1,651.99 sepanjang sesi dagangan ini.

Ia berada dalam lingkungan positif berikutan belian ketara membabitkan saham berkaitan indeks didahului oleh Maxis, Axiata dan IHH Healthcare yang menyumbang gabungan 4.46 mata kepada indeks utama itu.

Maxis untung 12 sen kepada RM5.56, Axiata naik 10 sen kepada RM4.66 manakala IHH Healthcare menambah lapan sen kepada RM5.51.

Sentimen pasaran adalah memberangsangkan dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 487 berbanding 305 manakala 349 lain tidak berubah, 748 tidak didagangkan dan 27 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 1.55 bilion unit bernilai RM1.52 bilion daripada 1.00 bilion unit bernilai RM1.01 bilion yang dicatat pada 12.30 tengah hari, Selasa lepas.

Sementara itu, Ketua Penyelidik JF Apex Securities Lee Chung Cheng berkata penggiat pasaran masih dalam sentimen mencari saham berharga rendah berikutan penyusutan pada Selasa selain mengambil petunjuk prestasi semalaman Dow Jones Industrial Average di Wall Street yang kukuh.

“Prestasi dagangan kebanyakannya dipengaruhi oleh faktor luaran, termasuk rasa optimis bahawa AS dan Mexico mampu menghasilkan persetujuan sebelum tarif dinaikkan pada minggu depan serta kedudukan Dow Jones yang kukuh dan jangkaan penurunan kadar faedah seterusnya oleh pihak Rizab Persekutuan (Fed) AS.

“Semua faktor itu terbukti meningkatkan sentimen di pasaran,” katanya kepada Bernama.

Dow Jones misalnya melonjak hampir 1,000 mata dalam tiga sesi dagangan terakhir selepas Pengerusi Fed, Jerome H. Powell menyatakan kesediaan bank pusat itu untuk bertindak sewajarnya bagi mengekalkan perkembangan ekonomi jika perang perdagangan AS-China yang dilancarkan oleh Presiden Donald Trump hanya melemahkan ekonomi negara itu.

Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik dua sen kepada RM8.99, Petronas Chemicals naik 12 sen kepada RM8.40 manakala Public Bank tidak berubah pada RM23.42.

Tenaga dan CIMB pula susut empat sen masing-masing kepada RM12.78 dan RM5.28.

Bagi saham aktif, Metronic dan Bumi Armada naik setengah sen masing-masing kepada 7.5 sen dan 20.5 sen, Ekovest untung 1.5 sen kepada 79 sen namun Pegasus Heights dan Lambo sebaliknya susut setengah sen kepada satu sen dan 5.5 sen.

Di papan skor, Indeks FBM Emas menokok 42.06 mata kepada 11,580.65, FBMT 100 meningkat 37.72 mata kepada 11,440.42, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 65.14 mata kepada 11,790.44, FBM 70 meraih 52.54 mata kepada 14,227.32, dan Indeks FBM Ace menambah 32.15 mata kepada 4,264.14.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 12.29 mata kepada 16,828.86, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menokok 1.61 mata kepada 160.54 dan Indeks Perladangan menambah 18.32 mata kepada 6,873.47.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.21 bilion saham bernilai RM1.48 bilion daripada 619.94 juta saham bernilai RM935.79 juta pada dagangan separuh hari Selasa lepas.

Waran pula berkurangan kepada 154.56 juta unit bernilai RM18.57 juta daripada 246.65 juta unit bernilai RM55.58 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 178.52 juta saham bernilai RM24.96 juta daripada 135.7 juta saham bernilai RM14.56 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 203.59 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (256.16 juta), pembinaan (186.72 juta), teknologi (42.35 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (47.76 juta), hartanah (176.04 juta), perladangan (18.43 juta), REIT (7.99 juta), dana tertutup(sifar), tenaga (207.98 juta), penjagaan kesihatan (14.53 juta), telekomunikasi dan media (24.05 juta), pengangkutan dan logistik (14.83 bilion) serta utiliti (13.62 juta). – BERNAMA


Pengarang :