NASIONAL

Siasatan video lucah dikaitkan dengan menteri masih berjalan – Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 29 Jun : Siasatan bagi mengesahkan ketulenan video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri masih diteruskan mengikut garis panduan Jabatan Peguam Negara, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

“Sebelum ini, saya telah beberapa kali menjelaskan bahawa saya tidak akan memberi sebarang tekanan kepada pasukan khas polis yang ditubuh sebelum ini bagi menjalankan siasatan kes berkenaan.

“Mereka (pasukan khas) tidak boleh membuat kerja-kerja penyiasatan secara tergesa-gesa kerana banyak perkara yang perlu disiasat dan mereka menjalankan tugas mengikut SOP,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir program kelestarian pertubuhan di rumah Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita), di sini.

“Saya tidak dapat berikan tempoh masa bila siasatan kes ini akan dapat diselesaikan kerana kami masih dalam proses mengumpulkan bahan-bahan bukti,” katanya.

Pada 14 Jun lepas, Haziq Abdullah Abdul Aziz, lelaki yang mengaku sebagai individu dalam video lucah yang mengaitkan seorang menteri Kabinet ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Berikutan itu pada 17 Jun lepas, pasukan khas yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed, ditubuhkan bagi menyiasat kes itu, dan anggota pasukan itu terdiri daripada merangkumi petugas dari JSJ, Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). -BERNAMA


Pengarang :