SUKANKINI

Siri Final Wanita FIH: Malaysia menang perlawanan kedua

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Pasukan hoki wanita negara menang perlawanan kedua berturut-turut, dalam Kejohanan Hoki Siri Final Wanita FIH 2018/2019 selepas menewaskan Republik Czech 3-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan A di Kelab Hoki Banbridge, Ireland, pada Selasa.

Kemenangan kedua berturut-turut ini menyaksikan pasukan Malaysia menduduki tangga teratas Kumpulan A dengan enam mata, selepas tiga perlawanan.

Pada perlawanan hari ini, Malaysia mendahului pada minit ke-28, melalui gol padang Wan Norfaiezah Md Saiuti sebelum menyaksikan Republik Czech menyamakan kedudukan melalui gol pukulan sudut penalti Adela Lehovcova pada minit ke-47.

Harimau Malaysia berjaya mendahului semula tidak lama selepas itu, dengan gol pukulan sudut penalti Fazilla Sylvester Silin, sebelum Fatin Shafika Sukri menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-54.

Untuk rekod, Malaysia tewas kepada pasukan tuan rumah, Ireland 1-2 pada 8 Jun, sebelum membelasah Singapura 12-0 pada perlawanan kedua, sehari selepas itu.

Bagaimanapun lawan pada peringkat separuh akhir, hanya akan diketahui selepas Kumpulan B iaitu, Korea Selatan, Perancis, Ukraine dan Scotland, melengkapkan perlawanan mereka lewat hari ini.

Kejohanan ini berfungsi sebagai pusingan kelayakan bagi Olimpik Tokyo 2020. – BERNAMA


Pengarang :