NASIONAL

Siswazah lepasan diploma digalak sertai TUDM

IPOH, 15 JUN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggalakkan siswazah baharu yang berkelulusan diploma menyertai pasukan berkenaan, kata Panglimanya, Jeneral Tan Sri Affendi Buang,

Beliau berkata dengan penyertaan lebih ramai siswazah lepasan diploma, ia dapat menjadikan anggota TUDM lebih berkualiti dan berkelayakan selain mereka akan memperoleh bayaran gaji serta elaun lebih tinggi berbanding menyertainya dengan hanya kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Di samping itu, mereka (siswazah lulusan diploma) akan menjalani latihan ketenteraan dalam jangka masa pendek sahaja dan ini sekali gus memberi kelebihan kepada mereka untuk mencapai tahap atau lesen kepakaran dalam masa yang singkat sahaja.

“Pada masa yang sama dengan kelayakan (tinggi) yang ada, ia dapat memberi peluang kepada mereka untuk menjalani kursus ketenteraan di dalam dan luar negara,” katanya

Affendi berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TUDM Siri 60/2019 di Akademi Tentera Udara Ipoh di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 336 perajurit muda udara termasuk 42 pelatih wanita menamatkan latihan asas ketenteraan selama enam bulan yang bermula sejak 1 Januari lalu dengan pelbagai latihan asas ketenteraan seperti kawad kaki, pengendalian senjata, latihan menembak, merentas halangan dan latihan hutan.

Selain itu, perajurit muda turut didedahkan dengan pelbagai modul akademik antaranya peranan dan organisai TUDM, pengetahuan am keselamatan dan tata tertib, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan etika tentera.

-BERNAMA


Pengarang :