PENDIDIKAN

SK Bandar Tasik Kesuma teruskan tradisi sambutan Aidilfitri

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SEMENYIH, 14 JUN: Tradisi Sambutan Aidilfitri Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tasik Kesuma diteruskan dengan kehadiran kira-kira 2,500 pelajar dan warga sekolah itu, hari ini.

Guru Besarnya, Noridah Abdul Aziz berkata, acara tahunan itu dianjurkan bagi mengeratkan hubungan dalam kalangan pelajar merentasi perbezaan kaum dan agama.

Katanya, sambutan itu diceriakan lagi dengan penampilan pelajar berbaju raya mengikut pakaian tradisi masing-masing selain bertukar-tukar kuih muih untuk berkongsi kegembiraan Aidilfitri sekali gus menzahirkan keserasian dalam masyarakat majmuk.

“Pada tahun lalu sambutan hari raya yang juga sebahagian daripada aktiviti pembelajaran luar bilik darjah itu dianjurkan secara terancang berasaskan objektif memantapkan integrasi dalam kalangan murid Melayu, Cina, India, Orang Asal, England dan Quba yang turut belajar di sekolah ini.

“Sokongan ibu bapa yang menyediakan pelbagai jenis kuih-muih adalah satu kerjasama yang mantap dalam menjayakan program ini,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Guru SK Tasik Kesuma, di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Nor Zuwairi Zakwa dan Pegawai Perhubungan Sekolah, Mohd Asri Halidi.

Majlis itu diadakan dari 8 pagi hingga 12 tengah hari itu turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik antaranya persembahan kalam jamaie’ oleh para pelajar dan persembahan nyanyian guru.


Pengarang :