NASIONAL

SKMM sambut baik pakej khas untuk OKU

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH LAM, 21 JUN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyambut baik pengumuman Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berhubung pelaksanaan pakej khas komunikasi untuk golongan orang kelainan upaya (OKU), semalam.

Pengerusinya, Al-Ishsal Ishak berkata, penawaran pakej khas komunikasi pada harga berpatutan itu akan memberi manfaat kepada golongan terbabit.

Katanya, ia membolehkan mereka menikmati manfaat kelebihan ekonomi digital, sekali gus menggalakkan penggunaan internet untuk meningkatkan perniagaan mereka.

“Sebanyak tujuh syarikat telekomunikasi utama iaitu Celcom, Digi, Maxis, TM, Time Dotcom, YTL dan U Mobile menawarkan pakej ini yang merangkumi pemberian diskaun antara RM10 sehingga RM15 untuk perkhidmatan mudah alih serta diskaun RM10 sehingga RM44 untuk perkhidmatan talian tetap.

“Bagi menikmati pakej terbabit, mereka perlu mengemukakan dokumen sokongan seperti kad pengenalan dan kad OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarkat.

“Manakala bagi keluarga yang mempunyai anak OKU, mereka layak menikmati pakej khas dengan mengemukakan dokumen bahawa mereka adalah penjaganya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Al-Ishsal berkata, proses pendaftaran untuk pakej khas itu hanya boleh dilakukan di cawangan penyedia perkhidmatan dan tiada penalti dikenakan untuk beralih dari kontrak sedia ada ke pakej khas berkenaan.

“Sebanyak 572 pusat internet di seluruh negara kini dilengkapi komputer, perisian dan aplikasi khas, sekali gus membolehkan golongan berkenaan mempunyai capaian perkhidmatan komunikasi dalam meningkatkan taraf hidup juga menjalankan aktiviti seharian mereka dengan mudah.

“Penawaran pakej khas komunikasi ini untuk golongan berkenaan menunjukkan komitment berterusan kerajaan dalam membela nasib rakyat khasnya golongan OKU,” katanya.


Pengarang :