NASIONAL

SKMM sedia kerjasama dengan polis siasat kes video

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 13 JUN : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersedia untuk bekerjasama dengan pihak polis berhubung penyebaran video yang kononnya dikaitkan dengan seorang menteri kabinet.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, setakat ini beliau tidak dapat membuat sebarang pengumuman berhubung bentuk kerjasama yang akan diberikan terbabit.

“Sekiranya ada, kita akan membuat penguman berkaitan dalam tempoh sehari hingga dua hari akan datang.

“Apabila pihak polis meminta bantuan SKMM, memang kita akan bantu. Sama ada bantuan sudah ada atau tidak, saya kena semak dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Jamuan Aidilfitri bersama pengamal media anjuran DAP Selangor bertempat di The Club, Bandar Utama, di sini, malam tadi.

Gobind yang juga Pengerusi DAP Selangor mengutuk sekerasnya tindakan individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan video berkenaan.

Katanya, itu adalah tindakan politik yang kotor dan tidak bertanggungjawab.

“Politik seperti ini tidak seharusnya didukung oleh sesiapa,” katanya.


Pengarang :