SELANGOR

SLIM Selangor peluang kakitangan SUK semai gaya hidup sihat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 JUN: Kerajaan Negeri memberi pelepasan waktu kerja pada jam 4.30 hingga 5.30 petang setiap Rabu kepada warga kerja Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor bagi membolehkan mereka menyertai program SLIM Selangor.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, program setiap Rabu itu dilaksanakan bagi menggalakkan golongan itu sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat.

Untuk tujuan itu, Dr Siti Mariah berharap semua kakitangan SUK mengambil bahagian dalam program itu.

“Hari ini kita mulakan dengan program yang terbuka buat semua kakitangan dan pihak pentadbiran memberi pelepasan masa dari 4.30 hingga 5.30 petang.

“Esok kita mulakan pula kategori lebih intensif iaitu khas untuk mereka yang mempunyai berat berlebihan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada hari pertama program SLIM Selangor di ruang legar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, petang tadi.

Dr Siti Mariah berkata, kategori intensif dibuka kepada kakitangan awam yang mempunyai bacaan Indeks Jisim Tubuh (BMI) mencecah 30.

Katanya, jurulatih akan membantu golongan memiliki BMI 30 ini mengurangkan berat badan sekurang-kurangnya enam kilogram dalam tempoh tiga bulan.

Dr Mariah berkata, peserta kategori intensif juga akan diberikan panduan pemakanan sihat supaya dapat mengekalkan berat ideal.

“Bagi kategori ini kita mempunyai 50 peserta bagi sesi pertama dan sesi kedua dibuka selepas tiga bulan iaitu apabila selesai sesi pertama,” katanya.


Pengarang :