SELANGOR

SMK Saujana Utama menang dua emas di Jepun

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 JUN: Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Utama (SMKSU) mengharumkan nama Selangor di peringkat antarabangsa selepas menggondol dua pingat emas, satu perak dan satu anugerah khas pada di Japan Design, Idea & Invention Expo 2019 di Tokyo, baru-baru ini.

Kejayaan pada expo berlangsung pada 15 hingga 17 Jun itu diperolehi menerusi alat ciptaan anti larva & anti microbe (emas), Mycomp (emas) dan kit herba (perak).

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, kejayaan itu bertambah manis apabila diraih selepas bersaing dengan lebih 250 sekolah dan universiti luar negara termasuk Jepun seperti Universiti Chiba, Universiti Nasional Yokohama, Universiti Tokyo Denki, Universiti Pertanian Tokyo, Tokai University dan Musashino Academia Musicae.

Selain peserta dari Jepun dan Malaysia terdapat 15 negara lain turut menghantar penyertaan masing-masing.

“Selangor sentiasa mendukung apa jua program pembangunan pelajar di dalam negeri ini di mana pencapaian di peringkat antarabangsa telah membawa nama Selangor ke persada antarabangsa.

“Tahnaih, saya akan bertemu dengan pelajar berkaitan dan akan menyampaikan penghargaan Kerajaan Negeri kepada mereka dan sekolah berkenaan,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, penyertaan sekolah Malaysia memberi impak besar pada expo itu apabila berjaya membawa pulang tujuh pingat keseluruhan.

Selain SMKSU, Malaysia turut berbangga kerana SM Sains Tapah, Perak memenangi dua emas dan satu anugerah khas, Kolej Vokasional Keningau (satu emas), Politeknik Port Dickson (satu emas), SMK Dato Jaafar Johor Bahru (satu perak), SMK Tanjung Datuk Johor (satu emas, satu perak dan satu anugerah khas) dalam ekspo sama.


Pengarang :