NASIONAL

SPRM digesa siasat land swap

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 JUN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya menyiasat urus niaga pertukaran tanah (land swap) di Pulau Pinang sejak 24 tahun lalu membabitkan Kementerian Pertahanan.

Ketua Komunikasi KEADILAN Wanita, Carolyn Khor mendakwa, urus niaga berkenaan membabitkan Kementerian itu dengan pemaju swasta dilihat tidak telus.

Katanya, pemaju yang dilantik untuk membina berek askar dengan kos RM40 juta menerima dua bidang tanah di lokasi utama di kawasan pulau negeri itu bernilai kira-kira RM82 juta.

“Berek yang terletak di Bukit Gedung itu juga dibina pada kos yang tinggi. Ia juga sepatutnya bernilai RM16 juta sahaja tetapi dilaporkan kepada Kementerian Pertahanan dibina pada kos RM40 juta.

“Pihak yang mendapat manfaat terbesar di dalam urus niaga ini adalah Datuk Ramzan Ismail yang merupakan pengarah dan memiliki 80 peratus kepentingan dalam syarikat pemaju, Warisan Pinang Sdn Bhd.

“Ramzan juga merupakan pemilik penuh syarikat Kiarafield Sdn Bhd yang memeterai perjanjian pertukaran tanah bagi pembangunan berek askar di Bukit Gedung dengan Kementerian Pertahanan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Pada masa sama, Carolyn berkata, SPRM perlu menyiasat pampasan dan pernilaian yang diberikan kepada syarikat berkenaan untuk pembinaan kediaman tentera baharu.

Beliau mendakwa, salah satu tanah yang diserahkan kepada syarikat berkenaan adalah bekas pangkalan tentera di Northam Road, Georgetown.

“Secara keseluruhan 34.64 ekar tanah ditukar pada harga RM82 juta atau kira-kira RM54.34 kaki persegi.

“Satu pernilaian yang lebih baik patut diberikan. Hari ini tanah itu pastinya bernilai lebih RM400 juta. Pernilaian tanah itu meningkat sejak lebih 20 tahun lalu dan ini merupakan satu kerugian besar kepada kerajaan.

“Perkara ini patut dilakukan inkuiri kerana keuntungan besar dijana oleh pemaju-pemaju swasta melalui pertukaran tanah,” katanya.


Pengarang :