NASIONAL

Srikandi KEADILAN: Pelantikan Latheefa Koya iktiraf peranan wanita

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 4 JUN: Pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu adalah satu pengiktirafan kepada peranan wanita di era Malaysia Baharu.

Ketua Srikandi KEADILAN, Nurainie Haziqah Shafii berkata, buat pertama kali dalam sejarah, seorang wanita memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Katanya, gerakan itu menyambut baik pelantikan berkenaan bagi menggantikan Datuk Seri Shukri Abdul dan disifatkan satu pelantikan yang tepat.

“Latheefa dikenali sebagai seorang peguam yang berani, lantang bersuara serta tidak gentar dalam mencari keadilan.

“Di era Malaysia Baharu ini, pengalaman beliau selama 17 tahun sebagai peguamcara dan peguambela menjadikan Latheefa sebagai individu yang paling sesuai mengetuai badan pencegah rasuah negara,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Pelantikannya selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Nurainie berkata, Srikandi KEADILAN menyambut baik keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencalonkan seorang wanita bagi jawatan tertinggi dalam badan mencegah rasuah di Malaysia.

“Srikandi KEADILAN mengucapkan tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada Puan Latheefa Koya.

“Semoga pelantikan ini akan terus memperkukuh usaha kerajaan dalam memerangi rasuah dan meningkatkan imej serta integriti rakyat Malaysia di mata dunia,” katanya.

 

 


Pengarang :