Empat lelaki seleweng diesel bersubsidi didakwa di mahkamah semalam.
NASIONAL

Suami, isteri didakwa 17 pertuduhan pengubahan wang haram

 

PETALING JAYA , 12 Jun : Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah hampir RM1.2 juta, tiga tahun lepas.

Muhammad Zarif Abdullah Menon, 47, dan isterinya Arzawiyah Ab Rahman, 43, masing-masing mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norshila Datuk Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima Muhammad Zarif, didakwa menggunakan dan memindahkan wang hasil aktiviti haram keseluruhannya berjumlah RM240,699 ke dalam akaun bank miliknya.

Arzawiyah pula dituduh atas 12 pertuduhan menggunakan dan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM935,217 kepada akaun suaminya dan seorang individu lelaki.

Wang yang didakwa digunakan dan dipindahkan pasangan itu bertujuan bagi pembayaran kad kredit OCBC Singapura, pembelian kereta mewah Mercedes Benz dan membeli sebuah premis di Bukit Jalil.

Kedua-dua tertuduh yang juga bekas pengarah sebuah syarikat perunding kewangan didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di OCBC Bank (Malaysia) cawangan Puchong dan Bank Islam Malaysia Berhad cawangan Bandar Kinrara, antara 3 Nov 2016 hingga 13 Mac 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Subseksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shukri Hussain menawarkan jaminan RM40,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin atas alasan jumlah kerugian dialami melebihi RM1 juta.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Norman Mohd Nasir memohon jumlah jaminan munasabah dengan alasan mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap serta menanggung anak yang masih bersekolah.

Mahkamah membenarkan Muhammad Zarif dan isterinya masing-masing diikat jamin RM20,000 dan RM32,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Julai untuk sebutan semula kes. -BERNAMA


Pengarang :