NASIONAL

SUKMA 2020: RM142 juta bangun infrastruktur

JOHOR BAHRU, 15 JUN: Suntikan dana sebanyak RM142 juta yang diberikan kerajaan pusat kepada Johor untuk penganjuran Sukan Malaysia 2020 (SUKMA 2020) akan digunakan untuk pembangunan infrastruktur yang sedang dinaik taraf dan dibina baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata antara infrastruktur yang dinaik taraf itu ialah pusat akuatik manakala yang dibina baharu termasuk stadium olahraga dan velodrom.

“Semua venue ini mengikut jadual. Ada yang sudah 80 peratus siap dan ada yang masih dalam pembinaan. Cuma untuk Sukma ini, kita kena pastikan bahawa segala bentuk infra siap sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum berlangsungnya acara kerana kita akan ada buat ujian dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sheikh Umar ditemui pada Program Kasih Amal Raya 2019 anjuran Reaching Heart and Finish Association Singapore dengan kerjasama Politeknik Mersing Johor (PMJ) di Kolej Vokasional (ERT) Azizah.

Semalam, penyaluran dana sebanyak RM142 juta itu diumumkan oleh Sheikh Umar sendiri melalui satu kenyataan media selepas peruntukannya diluluskan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Sebelum ini, beberapa surat dan pertemuan diutus dan diadakan bagi mendapatkan suntikan dana berkenaan dan kita telah nyatakan apakah bentuk infrastrukur yang kita bangunkan dan pulih daripada situlah, pihak kementerian membuat kiraan sehingga akhirnya meluluskan RM142 juta,” katanya.

SUKMA 2020 dijadualkan berlangsung bermula 11 hingga 19 Julai tahun hadapan.

-BERNAMA


Pengarang :