BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor berkenan rai 50 tahun Toyota di Malaysia

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 25 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Meraikan 50 Tahun Pengeluaran Kenderaan Toyota di Malaysia di Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) Plant 2 Bukit Raja.

Baginda menyempurnakan majlis pelancaran dengan menandatangani plak perasmian sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Duta Jepun Ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa; Ketua Pegawai Eksekutif China dan Asia Tenggara Toyota Motor, Tatsuro Ueda dan Pengerusi Kumpulan UMW, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Semua tetamu kehormat dibawa melawat kawasan ASSB Plant 2 bagi melihat dengan lebih dekat operasi pembuatan model baharu Toyota Vios dan Yaris di sini yang mula beroperasi secara rasmi, pada 2 Januari 2019.

Dalam majlis sama, UMW Toyota Motors Sdn Bhd berbesar hati mendermakan model terbaharu Toyota Yaris kepada Selangor Youth Community (SAY).

Mengimbau sejarah Toyota di Malaysia, syarikat permotoran itu mula bertapak pada 1968 dengan operasi ASSB di Seksyen 15 Shah Alam menerusi pembuatan model pertama Toyota Corolla KE10.

Pada 1982, UMW Corporation Sdn Bhd dan Toyota menjalinkan usahasama dengan modal berbayar RM59 juta menerusi pegangan saham 51 peratus UMW Corporation, 39% Toyota Motor Corporation dan 10% Toyota Tsusho Corporation.

ASSB di Shah Alam menghasilkan 38,000 unit kenderaan setahun dengan kekuatan tenaga kerja 1,125 kakitangan dan dua waktu bekerja.

Manakala ASSB Plant 2 di Bukit Raja berkeluasan 67 hektar merupakan pelaburan terbaharu bernilai RM2 bilion UMW Toyota Motors Sdn Bhd dengan sasaran penghasilan 50,000 unit kenderaan setahun.

Pusat pemasangan terbaru itu menggunakan teknologi automotif terkini, mesra tenaga, persekitaran kerja selamat dan pekerja berkemahiran tinggi.


Pengarang :