BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor berkenan terima zakat Tabung Haji RM24.7 juta

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pembayaran zakat RM24.7 juta daripada Tabung Haji (TH), hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH, Dato’ Sri Zukri Samat menyampaikan cek zakat itu ketika Majlis Penyempurnaan Kursus Haji Perdana 1440H/2019M Peringkat Selangor.

Penyerahan itu dilakukan di hadapan lebih 3,000 peserta kursus haji di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Selangor adalah penerima zakat TH tertinggi berbanding negeri lain dan ia meningkat 26.3 peratus berbanding tahun lalu iaitu RM19.5 juta.

Zukri dalam sembah ucapannya berkata, sokongan dan kepercayaan berterusan dari semua pihak adalah penting bagi memastikan TH terus teguh dan maju.

“Sesungguhnya tanggungjawab mengurus simpanan dan urusan haji adalah amanah yang besar dan tidak diambil mudah oleh pihak kami.

“Kami berharap semua pihak dapat mendoakan agar Allah SWT memelihara dan memberi keberkatan kepada warga Tabung Haji dalam usaha memartabatkan perkhidmatan kepada umat Islam Malaysia,” katanya.

 


Pengarang :