BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor titah jemaah haji kekal imej baik Malaysia 

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan jemaah haji supaya mengekalkan imej baik Malaysia dan sentiasa menjaga disiplin seperti tahun sebelum ini.

Baginda bertitah, jemaah haji Malaysia antara jemaah yang berdisiplin dan patuh kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

“Beta berharap tuan-tuan dan puan-puan terus mengekalkan disiplin diri semasa berada di tanah suci nanti dan menjaga nama baik Selangor dan Malaysia.

“Bersabarlah atas segala kepayahan dan dugaan yang mungkin akan dilalui terutama ketika berada di padang Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Sentiasalah berhubung dengan pekerja-pekerja haji dan mengikuti segala arahan yang dibuat oleh pihak Lembaga Tabung Haji,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian di Majlis Penyempurnaan Kursus Haji Perdana 1440H/2019M Peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Dato’ Sri Zukri Samat.

Menurut baginda, ibadah haji adalah satu perjalanan yang memerlukan kekuatan fizikal, emosi dan ilmu pengetahuan tentang ibadat haji yang jelas.

Justeru, baginda bertitah supaya para jemaah untuk mempersiapkan diri dengan sebaik-baiknya.

“Sepanjang berada di tanah suci, bersihkan niat dan gunakanlah sepenuh masa serta tenaga tuan-tuan dan puan-puan untuk melaksanakan amal ibadah agar beroleh haji yang mabrur.

“Jangan terlalu leka membuang masa dengan melakukan perkara tidak bermanfaat seperti berbual kosong, membeli-belah dan leka menggunakan telefon bimbit.

“Gunakan setiap waktu yang ada untuk memperbanyakkan ibadat dengan pergi ke masjid untuk berjemaah, perbanyakkan solat sunat, membaca Al-Quran dan berzikir,” titah baginda lagi.

 


Pengarang :