Seorang jurujual emas dan rakannya berdepan detik cemas apabila dirompak tiga lelaki bersenjatakan parang di lebuh raya Besraya pada 21 Sept 2020.
NASIONAL

Suspek bersenjata parang samun stesen minyak

KUANTAN, 30 JUN: Seorang juruwang berdepan detik cemas apabila diacukan parang pada kejadian rompakan di sebuah stesen minyak di Chenor, Maran dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Maran DSP Norzamri Abd Rahman berkata mangsa yang berusia 23 tahun mendakwa dua suspek lelaki itu melarikan wang tunai dianggarkan berjumlah RM800 pada kejadian 9.40 pagi itu.

“Mangsa mendakwa suspek masuk ke kedai serbaneka dan terus menuju ke kaunter sebelum salah seorang mengacukan parang supaya dia tidak menjerit meminta tolong.

“Suspek mengarahkan mangsa untuk membuka mesin simpanan wang sebelum seorang suspek lagi didakwa masuk ke belakang kaunter bagi mengambil wang tersebut,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Norzamri berkata mangsa mendakwa kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki Produa Myvi berwarna putih.

Mangsa yang tidak cedera terus menghubungi penyelia stesen minyak bagi memaklumkan kejadian sebelum membuat laporan polis.

Norzamri berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) kejadian rompakan itu juga tular di media sosial mulai malam tadi.

—BERNAMA


Pengarang :