NASIONAL

Swasta perlu bantu aspek keselamatan perniagaan, infrastruktur

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Pihak swasta perlu bekerjasama dengan kerajaan bagi memperkukuh sektor e-dagang di negara ini dengan membantu aspek keselamatan perniagaan, kemudahan infrastruktur dan kefahaman masyarakat.

Pengarah Kanan Teknologi Korporat Mimos Berhad, Nor Ezam Selan berkata selain itu penyedia platform e-dagang seharusnya menyakinkan pembeli mengenai aspek keselamatan melibatkan proses tempahan, transaksi pembayaran dan penghantaran produk kepada pembeli.

“Mereka juga perlu memastikan platform perniagaan sentiasa dikemaskinikan dan dilindungi daripada sebarang ancaman yang boleh mengganggu transaksi,” katanya ketika ditemui Bernama di Technology Park Malaysia, Bukit Jalil di sini semalam.

Beliau berkata dari sudut kemudahan infrastruktur, pihak swasta boleh membantu kerajaan dalam menyediakan sesuatu yang mampu meningkatkan kebolehpasaran produk yang dijual dalam talian.

Ia termasuk menyediakan kemudahan logistik yang dapat memastikan penghantaran produk dilakukan lebih lancar, selamat serta capaian jarak lebih luas, katanya.

Beliau berkata berhubung kefahaman masyarakat, swasta boleh menjalankan kempen atau apa sahaja pendekatan yang berupaya meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kelebihan e-dagang.

“Golongan millennial didapati menerima 100 peratus konsep perniagaan dalam talian, namun bagi generasi ‘baby boomers’ (lahir antara 1946 dan 1964) dan Generasi X (lahir dalam tempoh awal 1960 hingga awal 1980-an), mereka seolah-olah masih skeptikal serta terikat dengan pembelian cara lama yang perlu memegang, melihat dan mencuba secara fizikal setiap item yang ingin dibeli,” katanya.

Nor Ezam berkata sebahagian masyarakat juga masih kurang pengetahuan mengenai cabaran, risiko serta peluang perniagaan yang ditawarkan oleh sektor e-dagang.

Beliau mencadangkan kerajaan melakukan penambahbaikan melibatkan beberapa dasar tertentu berkaitan perniagaan dalam talian.

Kebanyakan peserta e-dagang berpendapat sesetengah dasar masih boleh diperkukuh memandangkan sektor berkenaan memerlukan dasar yang kondusif dan mesra pengguna untuk meningkat maju, katanya. – BERNAMA


Pengarang :