EKONOMINASIONAL

Syarikat teknologi diunjur kekal neutral pada Q3

KUALA LUMPUR, 20 JUN: MIDF Research menjangka pasaran ekuiti berkaitan syarikat teknologi, kekal neutral pada suku ketiga (Q3) walaupun berhadapan tekanan yang teruk dalam dagangan global, ekoran pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang berpanjangan.

Firma penyelidikan itu dalam laporan tinjauan Q3nya menyebut ketidaktentuan perdagangan yang semakin meningkat, mewujudkan kos kepada syarikat semikonduktor, dengan unjuran jualan yang rendah yang dicerminkan dalam keseluruhan saham semikonduktor dalam liputannya.

Bagaimanapun, pengharaman Amerika Syarikat ke atas produk syarikat teknologi utama China, Huawei, sebaliknya memberi manfaat kepada Malaysia.

“Kami melihat pengeluar komponen telefon pintar Malaysia merupakan antara penerima manfaat jika rantaian bekalan telefon pintar dijajarkan semula,” katanya hari ini.

“Malaysia, dengan reputasi sebagai antara pembekal komponen yang boleh dipercayai, mampu menjadi destinasi pengganti bagi China dalam bekalan cip dan komponen,” katanya.

Laporan itu menyebut bagi April 2019, peralatan semikonduktor mencatatkan bil sebanyak US$1.9 bilion, pengurangan 29 peratus tahun ke tahun, seiring dengan prospek suram industri semikonduktor.

“Kami percaya pengeluar mengurangkan perbelanjaan modal yang merangkumi pengembangan kapasiti pengeluaran dan/atau pengurangan dalam pelaburan teknologi baharu,” katanya.

Menurut MIDF Research, selagi perang perdagangan berterusan, ia akan melemahkan permintaan dan meningkatkan ketidaktentuan yang berpunca daripada peperangan perdagangan itu.

“Bagi meningkatkan permintaan yang semakin merosot, syarikat semikonduktor dalam liputan kami aktif meluaskan penawaran produknya dan asas pelanggan. Oleh itu, daya tahan pendapatan akan bergantung kepada seberapa cepat syarikat-syarikat ini dapat memperoleh perniagaan baharu,” katanya.

Bagi sektor telekomunikasi, laporan tersebut menyatakan bahawa pendapatan perkhidmatan pascabayar mencatatkan pertumbuhan mantap yang berterusan.

“Ini terutamanya disebabkan oleh pengembangan berterusan asas pelanggan pasca bayar memandangkan strategi pengambilalihan, pengekalan dan strategi penambahbaikan yang aktif. Selagi pengendali mudah alih meneruskan strateginya untuk menarik lebih banyak pelanggan pascabayar, kami menjangkakan pasaran pascabayar akan terus berkembang mantap,” katanya.

Bagi inisiatif untuk membuka jalan bagi spektrum 700Mhz, ia berkata kelulusan tender 700Mhz mungkin boleh berlaku pada suku keempat tahun ini memandangkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia kini mengkaji semula mekanisme terdahulu untuk kelulusan spektrum.

“Industri telekomunikasi secara keseluruhan kekal berdaya saing. Pendapatan pengendali mudah alih juga mengalami tekanan akibat perubahan dalam gabungan hasil daripada suara ke Internet dan perubahan dalam pelanggan,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :