NASIONAL

Syarikat telekomunikasi sedia pakej khas buat OKU

 

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 20 JUN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengumumkan syarikat pengendali telekomunikasi telah bersetuju untuk menyediakan pakej perkhidmatan rangkaian istimewa buat orang kelainan upaya (OKU).

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, pakej yang diberikan syarikat telekomunikasi itu memberikan potongan harga khas bagi membolehkan OKU menikmati rangkaian internet terutama bagi kegunaan perniagaan mereka.

“Saya telah menghadiri satu majlis bersama OKU di Kinrara, Puchong baru-baru ini dan mereka membangkitkan cadangan supaya diwujudkan pakej khas untuk mereka.

“Saya dan pegawai berbincang mengenai perkara itu. Dalam tempoh 10 hari, syarikat telekomunikasi memberikan maklum balas tawaran pakej buat OKU.

“Saya berterima kasih kepada mereka (syarikat telekomunikasi) atas kesediaan dan kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sekalung Budi Pengamal Media, Penggiat Seni dan Industri Kreatif bersama Menteri, Pengurusan Tertinggi, Jabatan dan Agensi KKMM di Dataran Gemilang, Presint 4, Putrajaya.

Gobind menjelaskan Kerajaan dengan kerjasama para penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama akan memberikan diskaun antara RM10 dan RM15 untuk pakej-pakej perkhidmatan mudah alih prabayar dan pasca bayar tertentu.

Selain itu, penyedia perkhidmatan talian tetap juga turut memberi diskaun antara RM10 dan RM44 untuk pakej-pakej tertentu kepada golongan OKU.

“Ini adalah salah satu langkah yang diambil oleh Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk memastikan semua lapisan masyarakat tidak ketinggalan dalam menghadapi perkembangan revolusi dunia digital dan Revolusi Industri 4.0.

“Penggunaan aplikasi teknologi terkini akan merangkumi semua aspek kehidupan kita di masa akan datang,” katanya.


Pengarang :