PUTRAJAYA, 13 Jun — Pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (dua,kanan), Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (kiri) dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong (kanan) pada sidang media khas di Kementerian Belia dan Sukan hari ini. – – fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMA SUKANKINI

Syed Saddiq: Chong Wei hero buat semua

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 13 JUN: “Terima kasih Datuk Lee Chong Wei,” Itu yang diungkapkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika menutup ucapannya pada sidang media khas pengumuman persaraan legenda badminton negara berkenaan.

Syed Saddiq berkata, Chong Wei adalah wira sebenar kepada seluruh rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan agama sekalipun, bersatu hati apabila melihat beliau beraksi di pentas antarabangsa.

“Untuk kita mencari satu lagi figura atau idola seperti Chong Wei adalah sukar kerana ia adalah sekali dalam seumur hidup. Seluruh rakyat Malaysia dan saya sendiri sangat beruntung kerana mempunyai Chong Wei.

“Walaupun beliau pilih untuk bersara tetapi roh perjuangannya akan terus meresapi kita semua malah semangat juang tingginya juga nyata membakar semangat seluruh rakyat Malaysia bukan saja bagi sukan badminton.

“Kami sentiasa bagi sokongan padu kepadanya kerana beliau adalah pejuang sejati,” katanya dalam satu keyataan media

PUTRAJAYA, 13 Jun — Pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pada sidang media khas di Kementerian Belia dan Sukan hari ini.
Chong Wei kelihatan tidak dapat menahan sebak selepas menamatkan karier profesionalnya selama 19 tahun dalam sukan bulu tangkis pada usia 37 tahun.
Turut kelihatan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kanan) dan Presiden BAM,Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (kiri)
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dalam sidang media sama, Syed Saddiq juga dilihat beberapa kali menenangkan Chong Wei yang kelihatan tidak dapat menahan sebak selepas menamatkan karier profesionalnya selama 19 tahun dalam arena badminton.

Pada masa sama, Syed Saddiq berkata, beliau membesar dengan menyaksikan Chong Wei mengibarkan jalur gemilang dengan bangganya di televisyen dan beliau yakin bahawa pelbagai generasi melalui pengalaman yang serupa.

“Selepas bercakap dengan Chong Wei kami juga memutuskan untuk melantiknya sebagai Ketua Kontinjen negara ke Olimpik Tokyo kerana kami tidak menjumpai calon lebih baik daripadanya yang telah menjadi inspirasi kita semua selama ini,” katanya.

Katanya, bagi menghargai jasa Chong Wei berbakti selama 19 tahun untuk negara, Syed Saddiq mengumumkan pelantikan legenda itu sebagai Ketua Kontinjen negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

 


Pengarang :