-fotoBERNAMA (2019) COPYRIGHT RESERVED
NASIONAL

Tahan diri daripada tamak hingga lakukan rasuah – Dr Mahathir

MELAKA, 10 Jun : Penjawat awam perlu menahan diri daripada berasa tamak sehingga melakukan rasuah, sabar supaya tidak cepat marah apabila berurusan dengan rakyat dan melaksanakan tugas dengan sepenuh hati kerana ia satu amanah, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan memandang serius isu-isu yang melibatkan gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam perkhidmatan awam, justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam membanteras isu ini hingga ke akar umbi.

Katanya Pelan Antirasuah Nasional yang komprehensif telah diterbitkan baru-baru ini sebagai peringatan dan amaran kepada semua pemimpin bahawa Malaysia dan rakyatnya tidak menerima amalan rasuah sama sekali.

“Usaha ini tidak boleh tercapai dengan mudah dan cepat, tetapi ia harus dimulakan dengan meletakkan asas-asas dasar yang akan membentuk budaya dan sistem yang berteraskan governans dan integriti,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Adly Zahari, barisan exco dan penjawat awam negeri ini.

Dr Mahathir berkata antara langkah perlu diambil bagi menangani rasuah adalah mempertingkatkan keberkesanan dan ketelusan perolehan kerajaan, menginstitusikan kredibiliti agensi penguatkuasaan undang-undang, memperkukuh akauntabiliti dan integriti politik, memupuk tadbir urus baik dalam entiti korporat, memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan dan mempertingkatkan kredibiliti sistem perundangan dan kehakiman.

Katanya nilai dan prinsip yang ditekankan pada bulan Ramadan dan Syawal itu amat berkait rapat dengan sikap dan tindak-tanduk sebagai penjawat awam, yang mana paling utama adalah menahan nafsu yang penting dalam melaksana tangungjawab dan amanah diberi.

“Saya bekerja kerana saya percaya ia adalah satu ibadah dan saya terus bekerja, walaupun semasa saya telah bersara dahulu, kerana ibadah tidak ada noktah. Jika kita terima kerja kita lakukan satu amanah dan tanggungjawab serta ibadah, maka kita akan bekerja dengan lebih kuat dan mengharap dapat keredaan Allah.

“Sebagai penjawat awam, nilai etika, jati diri dan integriti yang tinggi adalah perkara utama yang perlu kita sama-sama hayati dan amalkan. Walaupun pekerja swasta juga diharap mempunyai nilai yang sama tetapi beban ini lebih diletak di bahu penjawat awam,” katanya.

Dr Mahathir berkata sekiranya penjawat awam tidak menjaga amanah yang diberikan, maka jentera pentadbiran kerajaan akan pincang yang akhirnya akan menjejaskan kepercayaan rakyat kepada penjawat awam dan menjatuhkan imej perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

Beliau berkata oleh sebab itu, kerajaan dan rakyat khususnya, mempunyai pengharapan yang tinggi terhadap penjawat awam agar menjadi jentera pentadbiran yang bersih, cekap dan amanah.

“Kita juga perlu peka dan prihatin dengan segala undang-undang, peraturan mahupun pekeliling yang berkuat kuasa terutamanya yang berkaitan dengan bidang tugas kita. Ini adalah untuk mengelakkan daripada membuat keputusan di luar batasan,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :