PELANCONGANSELANGOR

Taman tema i-City destinasi pelancongan ketiga di Selangor peroleh MyTQA

 

SHAH ALAM, 27 Jun : Taman Tema i-City di Seksyen 7 di sini menjadi destinasi ketiga industri pelancongan di Selangor yang memperoleh pensijilan Jaminan Kualiti Menyeluruh Malaysia (MyTQA).

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Yean Yoke Heng berkata pensijilan diberikan susulan kejayaan taman tema itu memenuhi tujuh syarat yang ditetapkan iaitu berkaitan maklumat, tanggapan awal, daya tarikan, fasiliti, staf, keselamatan dan amalan lestari.

Beliau berkata selain taman tema i-City, dua lagi destinasi pelancongan di Selangor yang turut memperoleh pensijilan MyTQA adalah pusat membeli-belah Sunway Pyramid di Petaling Jaya dan taman haiwan ‘Farm in The City’ di Seri Kembangan.

“Pensijilan terhadap taman tema i-City ini diperakukan untuk tempoh tiga tahun dan ia merupakan destinasi pelancongan yang ke-39 seluruh Malaysia untuk menerima pengiktirafan itu.

“Antara 39 destinasi berkenaan adalah Langkawi Skycab, The Top Komtar, Menara Taming Sari dan Galeria Perdana,” katanya pada sidang media selepas merasmikan tarikah terbaharu taman tema i-City iaitu ‘Snow Village’ di sini, hari ini.

Taman Tema i-City yang turut dikenali sebagai ‘taman lampu digital’ itu dibuka secara berperingkat mulai Dis 2009 menawarkan pelbagai tarikan kepada pelancong antaranya taman tema air, pameran lampu digital berwarna-warni, muzium interaktif ‘Trick and Art’, muzium lilin interaktif ‘Red Carpet2’ yang mempamerkan pelbagai patung lilin figura komik, personaliti antarabangsa serta tempatan, tarikan rumah salji ‘Snow Village’ dan pelbagai permainan untuk kanak-kanak.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi i-Berhad, Datuk Eu Hong Chew berkata pembangunan di bandar pintar i-City akan terus dinaik taraf selaras dengan visi kerajaan Selangor untuk menjadi negeri pintar menjelang tahun 2025.

Katanya i-City akan membuat penambahbaikan khususnya dalam penggunaan teknologi digital untuk menyediakan prasarana taman tema yang lebih baik pada masa depan.

“Bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia 2020, kami memperkenalkan tarikan terbaharu kepada pelancong iaitu Snow Village untuk pengunjung merasai sendiri kesejukan pada tahap negatif lapan dalam suasana negara tropika,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :