SELANGOR

Tamat sewaan jika langgar syarat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 20 JUN: Kerajaan Negeri tidak teragak-agak untuk menamatkan sewaan sekiranya terdapat mana-mana penyewa dikesan melanggar syarat perjanjian Skim Smart Sewa bagi unit Projek Perumahan Rakyat (PPR).

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, penyewa harus bertanggungjawab terhadap unit kediaman disediakan dengan mematuhi syarat penyewaan ditetapkan.

Katanya, penyewa terbabit juga boleh dikeluarkan daripada terus menerima manfaat skim berkenaan.

“Penyewa diingatkan supaya tidak membenarkan orang luar untuk menumpang atau menyewakan mana-mana bahagian dalam unit berkenaan kepada orang lain.

“Selain itu, penyewa diingatkan untuk membayar sewa pada atau sebelum 7 haribulan setiap bulan untuk memastikan mereka layak menerima pulangan 30 peratus di akhir tempoh sewaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Skim Smart Sewa Dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pangsapuri Asteria, Bandar Parklands di sini, malam tadi.

Pada masa sama, beliau berharap usaha Kerajaan Negeri melalui pelaksanaan skim berkenaan akan dapat menyelesaikan dan mengurangkan masalah rakyat.

“Ini membuktikan Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dengan keperluan masyarakat Selangor terutama dalam isu memiliki kediaman.

“Kita mahu rakyat Selangor terus hidup selesa dan sejahtera tanpa perlu bimbang bagaimana untuk memilik rumah sendiri,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :