Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Tanah runtuh: 4 pekerja Myanmar maut tertimbus

GEORGE TOWN, 26 JUN: Empat pekerja warga Myanmar maut dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan di Jalan Tanjung Bungah dekat sini, malam tadi.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pihaknya dengan kerjasama polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia selepas laporan berhubung insiden itu diterima kira-kira 9.25 malam tadi.

“Setakat ini kita sudah mengenal pasti lokasi mangsa di bawah timbunan tanah dengan kedalaman kira-kira 4.5 meter.

“Usaha mengeluarkan mereka sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Sementara itu, usaha mengeluarkan tigas mayat mangsa kejadian tanah runtuh mengalami kesukaran ekoran akar tunjang pokok yang menghalang perjalanan operasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata, usaha giat dilakukan untuk memotong akar tunjang pokok itu bagi membolehkan mayat mangsa yang ditemui dikeluarkan.

“Usaha mengeluarkan mangsa yang sudah dijumpai sedang giat dijalankan selain mencari seorang lagi mangsa yang terbabit dalam kejadian ini,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Sehingga 2 pagi ini, ketiga-tiga mayat mangsa warga Myanmar yang sudah ditemukan masih belum dapat dikeluarkan.

Empat pekerja Myanmar berkenaan dilaporkan digaji pemilik pusat peranginan itu untuk membaiki tembok penahan di kawasan itu susulan pergerakan tanah yang berlaku di kawasan itu sejak seminggu lepas, menurut polis.

“Operasi mencari dan menyelamat ini akan diteruskan sehingga kesemua mangsa dapat ditemui dan dikeluarkan untuk dihantar ke Hospital Pulau Pinang bagi proses bedah siasat,” kata Che Zaimani.

-BERNAMA

FOTO KREDIT: BERNAMA


Pengarang :