SELANGOR

Tarif air: Selangor tunggu keputusan Kerajaan Persekutuan

 

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 JUN: Kerajaan Negeri masih menunggu keputusan daripada Kerajaan Persekutuan berhubung kadar tarif air di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bagaimanapun berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan kadar yang sesuai dikenakan sekiranya terdapat sebarang kenaikan.

“Buat masa ini, kita masih menunggu Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan kadar yang sesuai.

“Namun, kita juga akan memastikan pengguna tidak terbeban dan ada formula untuk mengurangkan bebanan terutamanya golongan B40,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri Batu Tiga, di Stadium JKR, di sini.

April lalu, Kerajaaan Negeri dijangka mengumumkan status tarif air selepas Aidilfitri ini selepas tarif air tidak dinaikkan sejak beberapa tahun lalu.

Tarif air di negeri itu ketika ini masih mengekalkan pada kadar RM1.39 semeter padu, iaitu harga pada 2006.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar mengesahkan enam negeri bersetuju menaikkan tarif air bagi menjamin kualiti perkhidmatan dan bekalan air kepada pengguna.

Dr Xavier berkata rundingan menaikkan tarif air giat dijalankan kerana kadar berkenaan tidak pernah disemak dalam tempoh 20 tahun.


Pengarang :