AGAMARENCANA

Teacher Iylia manfaatkan teknologi ajar netizen mengaji

OLEH AFIX REDZUAN

KEPESATAN  teknologi terutama laman sosial seharusnya dimanfaatkan semua pihak khususnya anak muda untuk memberikan manfaat kepada masyarakat tanpa menumpukan kepada aspek mencari keuntungan semata-mata.

Potensi itu diraih Nuriylia Nordin, 25, yang menjadikan laman Instagram sebagai medium untuk mengajar mengaji al-Quran dengan betul bagi membudayakan amalan mengaji dalam kalangan masyarakat.

Beliau yang mula mengajar mengaji sejak empat tahun lalu mengakui pelbagai reaksi positif diterima apabila usahanya mengajar teknik sebutan huruf ijariah menerusi laman Instagram @teacheriylia semakin diterima pelbagai pihak.

“Sekarang ramai orang suka ‘lepak’ di Instagram dan membuat tutorial seperti cara ‘make-up’ dengan betul, teknik pemakaian tudung dengan mudah di laman sosial. Saya fikir idea untuk mengajar mengaji adalah perkara baharu dan saya sahut cabaran untuk memulakannya.

“Jika saya tidak berkesempatan untuk bertemu dengan pelajar di rumah mereka, panggilan video boleh menjadi pengganti untuk mengajar supaya semangat mereka mengaji tidak turun.

“Saya menggunakan beberapa aplikasi seperti Facetime dan WhatsApp Video untuk mengajar pelajar dari pelbagai peringkat usia membetulkan cara bacaan supaya merek seronok untuk mengaji,” katanya.

Katanya, kali pertama beliau mendapat peluang mengajar di Lembah Klang adalah menerusi laman sosial selepas menerima satu mesej yang dihantar ke laman mikro Twitter miliknya beberapa tahun lalu.

“Saya buat satu akaun Twitter untuk menerangkan mengenai teknik membaca al-Quran dengan betul beberapa tahun lalu. Tanpa siapa tahu pemilik akaun berkenaan, saya dijemput untuk mengajar di Klang.

“Saya bukan seorang ustazah tambahan gaya penampilan saya juga berbeza. Tetapi berbekalkan pengalaman belajar dahulu, saya beranikan diri untuk mencuba dan Alhamdulillah setakat ini saya terima reaksi positif

“Saya nak menjadi perintis untuk mengajak orang melakukan perkara sama dan tidak boleh bergantung dengan cara tradisional semata-mata. Saya nak mendekati orang muda supaya ia memberi pulangan kepada akhirat,” katanya.

Beliau berkata, peringkat awal mengajar membaca al-Quran lebih tertumpu kepada memahami teknik sebutan huruf yang betul supaya pembaca lebih yakin untuk meneruskannya.

“Saya menyimpan cita-cita untuk memiliki pusat tuisyen al-Quran sendiri satu hari nanti. Alhamdulillah usaha saya hari ini juga hasil doa dan sokongan daripada pelajar sendiri.

“Saya nak orang muda buat benda yang sama. Kalau awak boleh buat trend ‘make-up’ di laman sosial, kenapa benda macam ini, tidak ramai buat? Ini untuk akhirat dan kita sebenarnya boleh menyumbang sesuatu kepada masyarakat,” katanya.

 


Pengarang :