SELANGOR

Tegas heret dalang video

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 JUN: KEADILAN Selangor menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap dalang yang menyebar video ‘palsu’ didakwa berkait seorang menteri kanan.

“Pihak berwajib juga perlu menyekat penularan video dan memberi amaran keras kepada pihak yang terus-menerus mensensasikan fitnah ini kepada khalayak awam,” kata Pengerusinya, Amirudin Shari.

Beliau mengulas penyebaran beberapa siri video sejak dua minggu lalu, termasuk klip yang dikaitkan dengan pemimpin terbabit di laman lucah.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor, menyifatkan penyebaran itu “jelek dan keji” yang semakin “melampau dan memualkan”.

“Kini, politik menjadi medan fitnah bukannya sebagai wasilah kepada kemaslahatan awam,” katanya dalam satu kenyataan, petang tadi.

Beliau menyarankan perlawanan politik seharusnya berlaku secara sihat dengan menawarkan idea yang mengangkat martabat rakyat dan negara.

“Komplot politik jahat yang mengheret rakyat ini seharusnya tidak berlaku lagi di era Malaysia Baharu ini,” katanya.

Amirudin berkata, ketika rakyat dan seluruh negara mengharapkan politik yang memberi harapan untuk perubahan dan pembangunan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Amalan politik sedemikian mencemarkan kesucian agama, tradisi dan budaya serta kemaslahatan rakyat khususnya umat Islam di negara ini,” katanya.


Pengarang :