PENDIDIKAN

Telekom, Celcom, Maxis sediakan perkhidmatan internet sekolah

 

PUTRAJAYA, 27 Jun : Perkhidmatan talian internet ke sekolah di seluruh negara akan dibekalkan oleh tiga penyedia perkhidmatan internet (ISP) iaitu Telekom Malaysia Bhd, Celcom Axiata Bhd dan Maxis Broadband Sdn Bhd mulai 1 Julai ini, selama enam bulan, kata Kementerian Pendidikan hari ini.

Tiga syarikat ISP itu juga akan menyediakan perkhidmatan talian internet ke beberapa bahagian di KPM dan 366 pusat kegiatan guru (PKG) di seluruh negara, katanya.

“KPM akan memilih penyedia perkhidmatan internet yang baharu bagi tempoh mulai 1 Jan 2020 selepas melakukan penilaian dan penambahbaikan yang diperlukan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Menurut KPM, sebahagian besar daripada 10,211 sekolah akan mula menerima perkhidmatan talian internet interim itu seawal 1 Julai, manakala sebahagian kecil sekolah terutama di kawasan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak, akan mengalami sedikit gangguan yang dijangka selesai sebelum akhir Julai.

Kementerian Pendidikan turut memaklumkan kontrak perkhidmatan 1Bestarinet yang membantu menyediakan talian internet dan aplikasi persekitaran pembelajaran virtual (VLE) kepada 10,211 sekolah di seluruh negara selama tujuh tahun sejak 2012 akan tamat pada 30 Jun ini.

Susulan berakhirnya perkhidmatan 1BestariNet Fasa 2, KPM berkata pihaknya memutuskan untuk mengguna pakai pelantar pembelajaran Google Classroom (GC) bagi menggantikan Frog VLE.

Bagi sebarang pertanyaan berkaitan, KPM telah mewujudkan talian khas bantuan atau Help Desk menerusi MyGCC 03-8000 8000 atau e-mel [email protected] atau [email protected] bagi membantu semua pihak terlibat menikmati perkhidmatan terbaik dan tanpa gangguan sepanjang tempoh yang dimaksudkan. -BERNAMA


Pengarang :