BERITA UTAMASELANGOR

Teliti cadangan tambah baik Jalan Tanjong Karang-Sabak Bernam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEPANG, 25 JUN: Jabatan Kerja Raya (JKR) disaran meneliti semula cadangan untuk meningkatkan penambahbaikan Jalan Persekutuan 5 (FR5) dari Tanjong Karang ke Sabak Bernam, kata Ir Izham Hashim.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, ini kerana beliau bimbang laluan itu menjadi sebahagian daripada projek pembinaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang menjadi lebuh raya alternatif kepada Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama Majlis Tindakan Negeri supaya penambahbaikan itu dapat dilaksanakan.

“Sudah tentu sepanjang perjalanan di jajaran WCE itu kita tidak mahu berlaku ketidakserasian antara lebuh raya dan jalan biasa kerana jalan sedang dinaik taraf (Tanjong Karang-Sabak Bernam) adalah sebahagian daripada jalan yang tidak mempunyai tol.

“Bila keluar lebuh raya kita tidak mahu nampak berlaku perbezaan ketara antara lebuh raya dan jalan biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Mesyuarat Jurutera Awam JKR Malaysia 2019, di Dewan Mentari 2, Movenpick Hotel Sepang, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (Pengurusan), Dato’ Ong Gua Pak; Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Dato’ Ir Dr Meor Abdul Aziz Osman dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor, Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz.

Pada masa sama, Izham berkata, pihaknya juga akan berusaha untuk mempertahankan penetapan had kelajuan 110 km/jam di jalan terbabit yang sememangnya menjadi kelajuan maksimum peringkat nasional.

“Ia hanya boleh mencapai 90 km/sejam sahaja di jalan antara Tanjong Karang ke Sabak Bernam kerana terlalu banyak jalan keluar di kawasan itu.

“Fasiliti yang ada perlu selaras dan sekata untuk mengelakkan kemalangan kerana pemandu tidak memandang berat berhubung isu had laju,” katanya.

Difahamkan, projek yang bermula pada 27 Julai 2015 dan siap sepenuhnya pada 25 Jun tahun lalu itu membabitkan dua pakej pembinaan iaitu Fasa 1 (5km) Sabak Bernam ke Hutan Melintang dan Fasa 2 (45km) Tanjong Karang ke Sabak Bernam.


Pengarang :