Selangorkini
NASIONAL

Tempoh 14 hari untuk Haziq jawab surat tunjuk sebab

PETALING JAYA, 19 JUN: Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) beri tempoh 14 hari kepada Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, untuk menyerahkan surat tunjuk sebab berhubung kenyataan umumnya bekaitan video seks yang mengaitkan dirinya.

Pengerusi Lembaga Displin KEADILAN, Datuk Ahmad Kassim berkata, surat berkenaan akan diserahkan esok berikutan kenyataan Haziq itu, menjatuhkan maruah dan merosakkan reputasi, serta keperibadian kepimpinan parti tersebut.

Katanya, keputusan tersebut adalah antara empat perkara yang dirumuskan lembaga itu yang dikemukakan kepada biro politik parti berkenaan.

“Lembaga Displin juga mengambil maklum penafian oleh Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan meneliti sebarang penjelasan sekiranya ada. Ketiga, kami juga menunggu siasatan serta dapatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), atau pihak lain yang berkuasa terlebih dahulu.

“Keempat, Lembaga Displin juga ingin memberi amaran kepada semua anggota parti, supaya tidak membuat kenyaaan tanpa asas, dan fakta kepada pimpinan parti,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat khas biro politik KEADILAN yang dipengerusikan presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

Kontroversi video seks yang sebelum ini ditular menerusi aplikasi WhatsApp, menjadi lebih hangat apabila Haziq kemudiannya didakwa muncul membuat pengakuan umum mengenai perkara itu, yang disiarkan menerusi video dan dihebahkan di dalam laman sosial media.

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, parti itu menyerahkan kepada Lembaga Displin, untuk membuat keputusan berhubung perkara tersebut dan PKR menolak budaya jijik dalam politik.

Beliau turut berkata, parti berkenaan turut menyerahkan siasatan sepenuhnya berhubung perkara itu, kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) serta badan-badan berkaitan.

Sementara itu, satu laporan polis dibuat hari ini terhadap penulis buku bertajuk ‘Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM’, kerana buku itu mengandungi fitnah dan tohmahan terhadap Anwar.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kedah, Datuk Johari Abdul dalam sidang media terdahulu berkata, beliau menerima manuskrip buku yang ditulis Yahaya Ismail pada 10 Jun lepas dan berpendapat tindakan itu amat tidak wajar serta bertentangan dengan prinsip kebebasan memberi pandangan.

“Di dalam manuskrip buku tersebut juga terdapat elemen mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan penuh kepada Anwar, serta memperlekehkan institusi Raja-Raja Melayu. Penulisan yang tidak berpandukan fakta, sarat denga fitnah yang direka-reka dan menjaja penulisan murahan untuk dibaca rakyat,” tambahnya.

– BERNAMA

 


Pengarang :