NASIONAL

Teresa: Bangkit pertahan komoditi minyak sawit

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 23 JUN: Rakyat di negara ini digesa untuk bangkit bersama-sama dalam membantu kerajaan mempertahankan komoditi minyak sawit dengan memberi sokongan terhadap usaha menggerakkan kempen ‘Sayangi Sawitku’.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata, hal itu memandangkan negara kini berdepan dengan sentimen kempen anti minyak sawit yang diperkenalkan negara barat sehingga mengancam kehidupan masyarakat.

“Ramai cemburu dengan minyak sawit Malaysia sebenarnya, jadi kita semua perlu lawan balik untuk memerangi kempen anti sawit di peringkat antarabangsa dan mempertahankan komoditi sawit negara.

“Amat sukar untuk kita (kerajaan) mempertahankan industri ini sekiranya rakyat sendiri tiada kesedaran sebaliknya terus dipengaruhi sentimen anti sawit negara barat yang mengatakan sawit Malaysia tiada khasiat dan mengakibatkan penyahutanan,” katanya.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata demikian pada program Jom Masak Sempena Kempen Sayangi Sawitku di Gelanggang Bola Keranjang Taman Tasik Kota Kemuning di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin merangkap Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning, V Ganabatirau.

Terdahulu, Kempen Sayangi Sawitku dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Mac lalu antara lain bertujuan memupuk semangat kecintaan dan kebanggaan ke atas minyak sawit Malaysia yang memberi tumpuan kepada kepentingan sosio-ekonomi, kesihatan, pemakanan dan aplikasi makanan serta bukan makanan.

Malah, ia juga sebagai tanda menghargai sumbangan komoditi itu yang menyumbang terhadap ekonomi negara.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :