Lembaga Tabung Haji kaji keperluan penstrukturan bayaran haji bersasar mengikut tahap kemampuan dan pendapatan jemaah.
NASIONAL

TH tambah baik infrastruktur IT lancarkan operasi haji

MELAKA, 28 JUN: Bahagian Teknologi Maklumat Tabung Haji (TH) akan melaksanakan beberapa penambahbaikan infrastruktur serta kemudahan teknologi maklumat (IT) dalam usaha memastikan kelancaran operasi haji tahun ini, kata Pengarah Operasi Bahagian Teknologi Maklumatnya, Za’aba Arpan.

Beliau berkata, antara usaha itu ialah menaik taraf talian di Hospital TH di Makkah dengan menggunakan gentian optik; menaik taraf Sistem Maklumat Kesihatan (SIHAT) berpandukan maklum balas operasi tahun lepas; dan membangunkan Sistem Kamar bagi membolehkan alokasi bilik jemaah haji dibuat dan dipantau dengan lebih sistematik.

Katanya bahagian itu turut menguji beberapa aplikasi sistem utama iaitu Sistem Haji dan Deposit; SIHAT yang melibatkan pasukan perubatan; Sistem Bersepadu yang akan menyediakan statistik jemaah haji bagi keperluan operasi; dan Sistem Hajj Mobility bagi memastikan pergerakan jemaah haji direkodkan.

“Kami juga kini sedang giat membuat penyelenggaraan lebih 800 peralatan komputer dan memastikan semua infra talian Internet serta talian utama berfungsi serta selamat digunakan bagi tiga sektor utama operasi haji iaitu di Makkah, Madinah dan Jeddah.

“Seramai 10 daripada 17 petugas telah tiba pada 23 Jun lalu, dan pasukan IT TH kini dalam fasa terakhir persiapan sebelum ketibaan 30,200 jemaah haji Malaysia secara berperingkat bermula 4 Julai ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Za’aba berkata bahagian itu telah membuat persiapan operasi haji sejak awal tahun ini dan beliau yakin semua persiapan IT akan siap sepenuhnya sebelum ketibaan jemaah haji Malaysia nanti. – BERNAMA


Pengarang :