NASIONAL

Tiada aduan isu bekalan kurang ketika Aidilfitri

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 19 JUN: Tiada aduan diterima berhubung isu kekurangan bekalan bahan makanan atau peningkatan harga mendadak sepanjang 30 hari pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Salahuddin Ayub berkata, hal itu ekoran harga bekalan makanan terkawal dan munasabah pada musim perayaan kali ini.

Katanya, selain disumbangkan faktor bekalan mencukupi, kawalan ketat di pintu sempadan negara berjaya mengelakkan penyeludupan bekalan makanan.

“Pada awal bulan ini, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Perlis berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk keratan ayam sejuk beli dari loji penyembelihan di Thailand yang tidak diiktiraf pihak berkuasa dengan nilai RM500,000.

“MAQIS Johor juga memutuskan cubaan membawa masuk dan mengimport 19 kotak daging lembu sejuk beku yang dipercayai dari Amerika Syarikat tanpa sebarang dokumen sah pada bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang turut disertai menterinya, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Salahuddin berkata, bekalan bahan makanan utama seperti daging, ayam, telur, ikan, kelapa, sayur dan buah-buahan juga mencukup bagi memenuhi keperluan pengguna.

Katanya, jumlah permintaan bahan makanan utama bagi tempoh musim perayaan kali ini mencatatkan 12,000 tan metrik tan bagi daging lembu dan kerbau.

“Manakala, daging ayam sebanyak 128,000 metrik tan, telur ayam (676 juta biji), ikan pelbagai spesis (107,000 metrik tan), ikan segar beku QFish pelbagai spesis (15 tan metrik tan), kubis bulat (9,600 metrik tan) dan kelapa biji pula sebanyak 34.6 juta.

“Jualan Jimat Belanja Aidilfitri anjuran Lembaga Pemasaran Pertanin Persekutuan (FAMA) di beberapa pasar tani terpilih seluruh negara juga membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan pada harga berpatutan,” katanya.


Pengarang :