Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad
NASIONAL

Tiada cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya

SHAH ALAM, 23 JUN: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah bercadang untuk membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi tujuan menambah kerusi parti DAP di Parlimen, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

“Ini semua cerita dongeng yang kita tidak pernah dengar dan tidak pernah dibincangkan… yang pernah kita timbul dalam kabinet ialah masalah pindaan persempadanan semula yang dibuat ketika pentadbiran kerajaan terdahulu,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen dan parti Amanah Shah Alam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Khalid yang juga anggota Parlimen Shah Alam mengulas mengenai dakwaan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam, bahawa terdapat usaha untuk meminda perlembagaan bagi tujuan membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Ahmad Zahid berkata kemungkinan berlaku juga pertambahan kerusi di kawasan bandar yang mana akan memberi tambahan bilangan kerusi tersebut kepada DAP.

“Tiada sebab kita nak ubah atau pinda (persempadanan) sekalipun kerana kita telah menang pada Pilihan Raya Umum yang lalu,” kata Khalid. – BERNAMA


Pengarang :