NASIONAL

Tiada kenaikan harga simen – KPDNHEP

 

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 19 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan tiada kenaikan harga simen ketika ini.

Menterinya, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu diambil selepas berjumpa dengan syarikat pengeluar simen seluruh negara.

Katanya, sekiranya harga simen yang menjadi bahan utama sektor perumahan itu meningkat, dasar kerajaan untuk membina sejuta Rumah Mampu Milik turut terkesan.

“Tanggungjawab kami adalah mengawal selia dan mengeluarkan lesen mengilang, memborong dan syaratnya jika ada kenaikan harga perlu memaklumkan terlebih dahulu untuk kelulusan.

“Namun, mereka tidak memaklumkan kepada kami berhubung perkara itu, jadi selepas mendengar alasan mereka dan kerajaan juga memberikan alasan, maka mereka bersetuju untuk tidak menaikan harga simen,” katanya dalam sidang media, di sini.

Pada masa sama, Saifuddin berkata, sekiranya pihak pengeluar mahu menaikkan harga simen, mereka perlu mengemukakan permohonan terlebih dahulu kepada kementerian.

“Sekiranya mereka ingkar, kementerian akan mengambil tindakan kawalan harga dan pencatutan,” katanya.

Terdahulu, Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kepada 19 pihak syarikat pengeluar simen untuk memberikan penjelasan dalam tempoh tujuh hari.

Isu itu dibangkitkan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) yang mengatakan mereka menerima notis kenaikan harga simen sebanyak 40 peratus pada 3 Jun lalu dan ia berkuatkuasa pada 15 Jun dan 1 Julai.

Berdasarkan laporan itu, 85 peratus bekalan simen negara dikuasai oleh sebuah syarikat sahaja dan menjangkakan kenaikan mendadak daripada RM10 kepada RM16 itu dijangka akan menyebabkan harga rumah terutama rumah mampu milik.


Pengarang :