SELANGOR

Tiada kompromi premis, rumah tiada tong sampah

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 20 JUN: Pihak premis komersial dan kediaman di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa disaran mengatasi masalah kebersihan dengan penggunaan tong sampah di kawasan masing-masing.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, G Gunarajah berkata, pihaknya dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan dan tindakan bakal diambil sekiranya pihak terbabit mengabaikannya.

“Kita mengenal pasti beberapa kawasan utama berkenaan isu ini memandangkan ketiadaan tong sampah di premis komersial dan kawasan perumahan menjadi punya utama masalah sampah di tempat berkenaan.

“Kita tidak boleh menyalahkan penduduk kerana ketiadaan tong sampah di rumah mereka tetapi tabiat sesetengah penduduk suka membuang sampah merata tempat menjadikan kawasan ini kotor.

“Bagi premis perniagaan, saya sudah berbincang dengan Yang Dipertua MPK supaya tidak mengeluarkan lesen kepada pihak berkenaan jika mereka tidak menyediakan tong sampah seperti di dalam perjanjian ditetapkan,” katanya dalam sidang media.

Pada masa sama, Gunarajah berkata, pihaknya akan membantu dan memainkan peranan dalam usaha membasmi isu berkenaan sebelum tindakan dilaksanakan secara drastik.

“Kami sudah melancarkan kempen ‘Clean And Green’ dan beberapa aktiviti sudah dijalankan bermula April lalu sehingga kini membabitkan persatuan penduduk di kawasan berkenaan.

“Kempen ini bertujuan memberikan inspirasi kepada penduduk di kawasan berkenaan untuk menjaga dan melindungi alam sekitar serta mesra alam.

“Kami juga mendidik dan memberikan tunjuk ajar kepada kanak-kanak serta pelajar sekolah untuk menanam pokok supaya timbul kesedaran terhadap kepentingan itu,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :