NASIONAL

Tidak mengalah walau ditohmah ketika bertugas

OLEH NADIAH ZAMLUS

SELAYANG, 18 JUN: Sering ditohmah ketika menjalankan kerja penguatkuasaan tidak menghalang Shaari Sukir untuk menjalankan amanah sebagai pembantu kesihatan awam Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Lelaki berusia 60 tahun itu berkata, pelbagai kata kurang enak pernah dilemparkan ketika beliau serta rakan sejawatan lain membuat pemeriksaan kebersihan dari rumah ke rumah.

“Ada ketikanya saya ke gerai makanan membuat pemeriksaan dan tidak ketinggalan dari rumah ke rumah membuat pemeriksaan nyamuk Aedes, memang pelbagai karenah manusia yang saya hadapi.

“Tetapi itu tidak membuatkan saya lemah untuk meneruskan pekerjaan ini, sebaliknya sifat sabar yang dipupuk dalam diri membuatkan saya lebih kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MPS, di sini, hari ini.

Shaari di antara 20 pesara yang berkhidmat dengan MPS menerima sijil penghargaan serta insentif simpanan premium RM500.

Beliau yang sudah berkhidmat selama 38 tahun dengan MPS memberitahu, penjawat awam perlu sentiasa menjaga tatatertib ketika memegang jawatan berkenaan.

“Kita kena ada prinsip dalam hidup ini, selagi kita boleh bersabar, sabarlah, tambahan sekarang ialah zaman orang cepat menyebarkan berita tidak sahih,” katanya.


Pengarang :