NASIONAL

Tidak pindahkan Orang Asli Kuala Koh – JAKOA

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 JUN: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menafikan kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, yang mendakwa jabatan itu akan memindahkan Orang Asli Kuala Koh ke satu tempat yang baharu.

Dalam kenyataan, JAKOA memaklumkan pihaknya tidak pernah menyatakan hasrat untuk memindahkan kaum itu ke mana-mana lokasi baharu, malah perkara itu tidak pernah dibangkitkan melalui media atau dalam mesyuarat peringkat jabatan.

Katanya, perkara itu kerana pemindahan ke lokasi baharu bukan solusi terbaik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Perancangan rapi merentas agensi perlu difomulasikan untuk merealisasikan pembangunan yang holistik, bersepadu dan lestari.

“JAKOA dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melaksanakan beberapa projek pembangunan di perkampungan berkaitan, di antaranya bantuan perumahan sebanyak 16 rumah yang dibina di bawah Program Bina Rumah (PBR),” kata kenyataan itu.

Malah, JAKOA berkata, pihaknya akan terus menyalurkan bantuan kepada komuniti pada masa akan datang sehingga mereka semua mempunyai rumah yang selesa.

Pada masa sama, katanya, bagi mengangani kes kematian 15 Orang Asli Suku Kaum Bated di Kampung Kuala Koh, JAKOA membuat keputusan untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada Jabatan Kesihatan Negeri dan Daerah Kelantan.

“Ia supaya masyarakat Orang Asli suku Kaum Bateq ini dapat diberikan suntikan imunisasi lengkap ketika masih bayi dan kanak-kanak. Ini dapat mencegah mereka daripada penyakit seperti ini yang sedang melanda masyarakat sekarang.

“Selain kempen dan ceramah berkaitan kesedaran dan kepentingan menjaga kesihatan. Kita komited dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Kelantan untuk membuat Sistem Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS).

“Tindakan akan diambil secepat mungkin atau sebaik sahaja Kampung Kuala Koh diisytiharkan selamat daripada wabak dan kembali ke zon hijau,” katanya.


Pengarang :