EKONOMI

Tidak yakin punca B40 enggan libat dalam bidang usahawan

JASIN, 2 JUN: Tidak yakin dengan kebolehan diri sendiri antara punca menyebabkan golongan berpendapatan rendah (B40) enggan melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, kata Menteri Pembangunan Usahawan.

Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, ini kerana golongan berkenaan sering bimbang mereka akan gagal dalam menyaingi pasaran dengan usahawan lain pada peringkat awal perniagaan.

“Kita sentiasa mengalakkan orang Melayu, terutama dalam kalangan B40, supaya lebih berani ke depan dan kreatif kerana banyak peluang dan ruang disediakan untuk membantu mereka memulakan perniagaan.

“Tapi saya lihat hari ini, yang datang lebih banyak hanya meminta wang, sedangkan banyak kaedah permulaan perniagaan yang telah diaturkan oleh kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ihya Ramadan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) bersama Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Jasin di Masjid Al-Ghaffar, di sini malam ini.

Turut hadir, Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Zahid Md Arip.

Mohd Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, selain tidak yakin dengan kemampuan diri, golongan B40 juga dilihat kurang mempunyai maklumat mengenai kaedah untuk memulakan perniagaan.

Dalam pada itu, beliau berkata selain golongan B40, kumpulan anak muda juga perlu berani mengemukakan cadangan kepada kementerian, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

Menurutnya, kerajaan sentiasa komited mencari ruang agar golongan berkenaan tidak terpinggir dan ketinggalan dari segi pendapatan, seiring sasaran menjadi negara usahawan 2020.

– BERNAMA


Pengarang :